Sunday 30 March 2014

MAIN SOROK-SOROK: LARI, SEMBUNYI DAN CARI



Kanak-kanak suka main sorok-sorok. Tidak kira sama ada bermain pada waktu petang atau malam dan kadang-kadang tengah hari. Main sorok-sorok ini mengambil masa yang lama. Pada  zaman kanak-kanak saya, kadang-kadang mengambil masa sehingga 3 atau 4 jam. Pada hari ini, saya melihatnya, anak-anak bermain sorok-sorok kadang-kadang tidak sampai tiga puluh minit. Manakala golongan dewasa, apabila main sorok-sorok mengambil masa lama. Main sorok-sorok ini adalah suatu yang digemari bukan sahaja oleh kanak-kanak lelaki tetapi juga oleh kanak-kanak perempun. Pernah suatu ketika main sorok-sorok itu dimulai sekitar pukul 5.00 petang dan berlanjutan sehingga ke waktu salat Isyak. Kanak-kanak sakan bermain, lalai hingga tidak mengerjakan salat.

Dahulu  main sorok-sorok dilakukan di luar rumah dan kebiasannya di kebun di belakang rumah. Kini, saya dapati kanak-kanak suka main sorok-sorok di dalam rumah; ruang tamu, kawasam parkir kereta, bilik tidur, dapur dan sehingga bersembunyi di dalam tandas. Kelibat anak-anak akan kelihatan; menutup mata tetapi kepala nampak, menutup badan tetapi kaki nampak, menutup seluruh tubuh dengan selimut tetapi bergoyang-goyang dan bersembunyi di belakang pintu, di belakang kerusi, dalam almari, di bawah katil. Pendek cerita, kanak-kanak zaman sekarang apabila main sorok-sorok pasti kelihatan kelibatnya kerana mereka bermain dalam ruang lingkup  yang terbatas, boleh dipantau dan diimbas oleh mata kasar. Pada zaman kanak-kanak saya, kebun di belakang rumah yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok; ada pokok pisang, nangka, rambutan, ubi kayu, kekabu, asam, cempedak, terap, mangga dan pokok-pokok liar yang tumbuh semula jadi menjadi medan sorok-sorok.

Main sorok-sorok telah mendewasakan saya dan memberi pendidikan yang bernilai. Suatu hari nanti bila diberi peluang bermain sorok-sorok untuk mencari sesuatu benda yang hilang sebesar rumah, saya boleh membantu, Insya Allah.


Permainan Sorok-Sorok menurut zamannya

Permainan ini berlaku 35 tahun dahulu. Peraturan permainannya barangkali berbeza dengan kanak-kanak tahun 2014. Kerana permainan ini telah melalui 3½ dekad tetapi masih releven dalam konteks semasa. Allah s.w.t. hendak menunjukkan sesuatu supaya kita istiqamah, bersyukur, sabar dan bertawakal kepadaNya. Allahu akhbar.


1.      Peraturan Permainan

Permain bebas bermain dalam lingkungan kawasan yang ditentukan. Walaupun  begitu, sifatnya permainan, tetap dibolosi juga peraturannya kerana bermain dalam suasana yang menyeronokkan. Peraturan, perjanjian dan persetujuan sudah tidak diendahkan lagi apabila melakukan penyorokan. Yang cerdik, cergas, bersungguh-sungguh, ada rangkaian akan memenangi permainan. Yang dungu-dungu, ‘palui-palui’, tak nak berfikir,  saja-saja, tiada kesungguhan dan ikut-ikutan menjadi gurauan rakan-rakan sepermainan. Masa yang berlalu boleh mengubah apa jua perjanjian.


2.      Kumpulan Dibahagikan Kepada Dua:


a.      Kumpulan Menyorok

Kumpulan ini tugasnya menyorok supaya tidak tertangkap oleh kumpulan pencari. Mereka bebas menyorok dengan syarat berada dalam lingkungan permaianan. Mereka sedaya upaya menyorok supaya tidak tertangkap.


b.      Kumpulan Pencari

Kumpulan pencari tugasnya mencari kumpulan menyorok untuk ditangkap. Apabila ahli kumpul menyorok telah ditangkap seorang atau lebih maka kumpulan pencari meminimumkan pencarian, sebaliknya lebih kepada bertahan disekitar ahli-ahli menyorok yang tertangkap kerana pada bila-bila masa sahaja ahli-ahli kumpulan menyorok yang bebas akan berusaha membebaskan ahli-ahlinya.


3.      Ahli Menyorok Tertangkap Dimasukkan Ke Penjara

Ahli-ahli yang menyorok apabila disentuh sahaja oleh kumpulan pencari maka ia telah dianggap tertangkap. Mereka yang tertangkap akan diletakkan pada satu tempat dan diletakkan dalam penandaan/bulatan sebagai penanda bahawa ahli-ahli menyorok tertangkap. Mereka dilarang melangkau penandaan/bulatan yang telah ditandakan itu. Mereka telah dipenjara. Dikurung di satu kawasan lapang supaya mudah diperhatikan olen kumpulan pencari dan/serta dilihat oleh ahli-ahli mereka dari kumpulan menyorok.


4.      Pembebasan Ahli-Ahli Tertangkap

Ahli-ahli kumpulan menyorok yang tertangkap boleh dibebaskan setelah ahli-ahli kumpulanya melakukan sentuhan kepada tubuh mereka. Ahli kumpulan menyorok yang berusaha membebaskan ahli-ahli mereka boleh melepasi bulatan dan memasukinya kerana ia dianggap bebas daripada bulatan yang ditandakan kerana melakukan pembebasan kepada ahli-ahli. Jika ahli kumpulan menyorok melakukan penyelamatan dengan menyentuh ahli-ahli mereka yang tertangkap maka secara automatik yang tertangkap itu bebas dan boleh menyorok lagi. Tetapi semasa ahli-ahli kumpulan menyorok melakukan pembebasan kepada rakan-rakan mereka tiba-tiba dapat disentuh oleh kumpulan pencari maka ia juga tertangkap atau ditangkap dan dimasukan ke penjara di dalam bulatan.


5.      Pergantian Permainan

Permainan sorok-sorok ini  akan bertukar ganti sekiranya kesemua ahli kumpulan menyorok, telah tertangkap maka permainan berubah - berganti tempat. Kumpul menyorok menjadi kumpulan pencari, manakala kumpulan pencari menjadi kumpulan menyorok. Lagi cepat tertangkapnya kumpulan menyorok lagi cepat pergantian permainan.


6.      Permain Culas

Dari segi teorinya permainan saling bertukar ganti tetapi yang tidak menyeronokkan kerana ada di antara ahli-ahli kumpulan menyorok belot dan ingkar dengan peraturan. Mereka menyorok ‘terlampau menyorok’ menjadikan pencarian mengambil masa yang lama. Sebagai contoh ada ahli-ahli kumpulan menyorok telah mengalihkan perhatian kumpulan pencari dengan bersembunyi di luar kawasan permainan. Menyorok di dalam rumah; makan dan minum di rumah kemudian baru memulakan permainan semula. Kumpulan pencari ada yang merungut:

‘Hebat sungguh awak bersembunyi, tak dapat dikesan.’

‘Tengoklah siapa orangnya,’ jawab seorang kumpulan penyorok.

‘Eemmm.’


7.      Pemenang Permainan

Permainan ini bebas. Tiada pengadil. Tiada hadiah,  tiada kalah atau menang. Pemenangnya ialah keseronokan pada diri kanak-kanak.


8.      Penamatan Permainan

Permainan untuk pertama kalinya, menyeronokkan. Semua ahli-ahli terlibat akur dengan peraturan, disiplin dan patuh perjanjian, tetapi apabila berulangkali bermain, maka masing-masing tidak lagi mematuhi peraturan. Sehingga pada  satu peringkat seseorang berkata:

‘Penipu, engkau menyorok tempat lain!’

‘Mana adil, bapa engkau membantu menyorok kamu!’

‘Oyong tak betul, balik rumah makan!’

‘Saya dah sentuh, tapi lari dan menyorok lagi!’

‘Tak perlu mainlah, baik aku tidur di rumah!’

Dan bermacam-macam lagi sikap kanak-kanak pada zaman tersebut.

Permainan sorok-sorok ini bukan sahaja digemari pada zaman saya kanak-kanak, tetapi berkesinambungan sehingga kepada zaman anak-anak saya. Saya melihat permainan sorok-sorok ini telah dikembangkan sehingga ia berbentuk komersial seperti dalam rancangan variasi: ‘Running Man’ terbitan bersiri kelakar dari Korea melalui saluran 393.  Manakala channel 708 menyajikan terbitan bersiri mencari misi dari Jepun dengan tajuk: ‘Run For Money’ yang kedua-duanya disiarkan oleh ASTRO beberapa bulan yang lalu sebelum tragedi MH370.

Menelusuri permainan sorok-sorok ini, dan ia berkembang menurut zamannya sebagaimana tragedi MH370 yang ditemui setelah masuk hari ke-15 atau dua minggu baharu dapat dikesan melalui satelit Inmarsat milik Britain yang belum didetailkan secara spesifik. Setelah melalui pencariannya, maka terhasillah satu teori seperti yang dinyatakan dalam satu artikel: Teori Kejutan: Teori Mencari Pesawat MH370, yang mengemukakan 15 teori, antaranya, melalui: Teori Ahad: Mencari Pesawat MH370.  Teori ke-4 tersebut menyatakan:


4.   Teori Ahad: Teori ini  menjelaskan bahawa sebelum pencarian, telah dilakukan penandaan di kawasan tertentu, tempoh tertentu dan jarak tertentu, maka semasa pencarian orang yang terlibat keletihan kerana kawasan yang ditandakan banyak dan luas sedangkan benda yang dicari telah dialihkan atau tiada di situ.


Main sorok-sorok terus berkembang, dipertingkatkan dan dijadikan strategi. Sebagai cetusan, apabila meletusnya peperangan,  melakukan penyorokan adalah suatu kewajiban, sebagai pertahanan sebelum menyerang balik pihak lawan. Dan begitulah pihak lawan pula akan menyorok untuk menyelamatkan diri apabila diserang. Ia silih berganti.  

Berjayalah mereka yang berpengalaman tentang main sorok-sorok kerana ada nilai pendidikan di sana.  














 













 












 



















































































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Hikmat itu barang kepunyaan mukmin yang hilang, di mana didapatinya, maka dia yang berhak atasnya.” ( H. R. Imam At-Tirmizi )