Sunday, 10 August 2014

BURUNG DAN BURUNG-BURUNG



Allah s.w.t. mencipta burung dengan pelbagai kelebihan yang sukar untuk difahami oleh manusia sebagaimana Allah s.w.t. mencipta manusia dan makhluk-makhluk lain yang sukar difahami kecuali diberikan ilmu yang terbatas di atas kefahaman yang dipelajari mengenai makhluk-makhluk tersebut oleh Allah s.w.t.. Pelbagai kelebihan ciptaan Allah s.w.t. hanya dapat disyukuri oleh manusia yang mengetahui kelebihannya. Ia bukan diciptakan dengan sia-sia. Ada faedah dan kemudaratan padanya. Burung akan memberi manfaat dan memudaratkan jika peratusan makhluk tersebut tidak seimbang dari segi nisbah yang sewajarnya. Antara manfaat burung kepada manusia ialah, ia menyuburkan tumbuhan dan berada dalam kitaran kehidupan yang ditetapkan, dan memudaratkan pula apabila penyebaran wabak penyakit yang dibawa olenya mula menular dan sukar untuk mengawalnya.

Dalam al-Quran surah An-Nahl ayat 79, Allah s.w.t. menerangkan tentang burung:


A079


“Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.”



 A019


“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” ( Al-Quran, surah al-Mulk ayat 19 )



A038


“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”  ( Al-Quran, surah Al-An’am ayat 38 )

Burung adalah makhluk yang bebas terbang di angkasa raya ke sana sini terutamanya untuk tujuan mencari makan dan menyesuaikan dirinya dengan iklim yang sesuai dengan keperluan diri dan tempat tinggalnya. Ia tidak akan tinggal di kawasan beriklim yang tidak sesuai dengannya. Ia boleh menghidu dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim serta akan  bergerak ke kawasan-kawasan yang sesuai baginya.

Burung memiliki kepak. Dengan kepak itu ia mengimbangi badan dan memanaskan badannya. Kepak juga, fungsi utamanya sebagai alat menggerakkan badannya untuk terbang. Mengambil contoh daripada kepak burung, lalu semua kapal terbang memiliki kepak dikenali sebagai sayap untuk mengimbangi peluncurannya. Dengan kepak, burung boleh bergerak, melompat-lompat, berjalan dan terbang beberapa minit sehinggalah berjam-jam lamanya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, dari satu kawasan ke satu kawasan.

Ia terbang dengan kekuasaan Allah s.w.t.. Kadang-kadang kebebasan burung-burung disekat dan tersekat oleh aktiviti manusia. Burung-burung disekat dengan mengurungnya di dalam sangkar; dijual kepada umum, dipertontonkan, dikepung di dalam taman burung, dihalang dengan jaring atau di zookan, yang dikhususkan untuk kawasan burung-burung. Yang amat menyedihkan  burung-burung tersebut dilatih hidup seekor-seekor tanpa pasangan, terhalang nafsunya, nalurinya terbantut. Akhirnya burung-burung yang mengalami musibah tersebut sentiasa berdoa  kecelakaan kepada individu-indivudu yang melakukan kedajalan kepadannya kerana menghalangnya daripada menikmati kebebasan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. kepadanya dan kepada individu-individu yang mengurungnya.

Dalam al-Quran, surah An-Naml, ada sebuah cerita tentang burung dan dialog nabi sulaiman dengan beberapa makhluk dan individu yang amat bermanfaat untuk dijadikan panduan hidup. Dialog tersebut termasuk pengisytiharan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s., Nabi sulaiman mengisytiharkan kefahamannya tentang Islam, senyuman kesyukuran Nabi Sulaiman a.s. mendengar percakapan semut kepada komunitinya,  Nabi Sulaiman a.s. dengan burung Hud-Hud, Ratu Balqis dan pembesar-pembesarnya, utusan Ratu Balqis mengadap Nabi Sulaiman a.s., Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesarnya mencambah minda termasuk jin Ifrit dan hamba Allah yang salleh, dan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis dan pengisytiharan Ratu Balqis masuk Islam:


Allah s.w.t. isytiharkan keilmuan anak-beranak; Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s.



A015


“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman."


Nabi Sulaiman a.s. mewarisi  kerajaan Nabi Daud a.s. dan pengisytiharan kefahamannya tentang suara burung



A016
A017


“Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: "Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata."

Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.”


Nabi Sulaiman a.s. senyum mendengar semut berkata-kata



A018
A019


“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari."

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh."


Nabi Sulaiman a.s. mencari burung Hud-Hud dan penjelasan daripadanya



A020
A021
A022
A023
A024
A025
A026
A027
A028


"Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?

"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)."

Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.

"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.

"Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, -

"(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.

"Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar. .

Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.

"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka."


Ratu Balqis berdialog dengan pembesar-pembesarnya



A029
A030
A031
A032
A033
A034
A035


“(Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.

"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,

"`Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). ' "

Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya".

Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.

Raja perempuan itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.

"Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita."


Nabi Sulaiman a.s. berdialog dengan utusan-utusan Saba’



A036
A037


“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): "Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).

"Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan."


Nabi Sulaiman a.s berdialog dengan bijak pandainya



A038
A039
A040
A041


“Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian."


Nabi Sulaiman a.s. berdialog dengan bakal isterinya



A042
A043
A044


“Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)".

Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.

(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam."

(Al-Quran, Surah An-Naml ayat 15 hingga 44)














No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Hikmat itu barang kepunyaan mukmin yang hilang, di mana didapatinya, maka dia yang berhak atasnya.” ( H. R. Imam At-Tirmizi )