Monday, 30 June 2014

YAHUDI BERDALIH MINTA PEMBUKTIAN




Dalam peristiwa penyebelihan lembu betina

Yahudi adalah suatu kaum yang dirakamkan peristiwa-peristiwa mereka  berulang-ulang di dalam al-Quran dalam pelbagai situasi kerana sifat-sifat istimewa yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada mereka yang tidak dianugerakan kepada bangsa lain. Suatu anugerah ketuhanan. Biasanya anugerah yang diberikan itu akan disyukuri ketika itu dan dilupakan setelah berlalunya hari-hari yang penuh dengan cabaran dan hidup dalam selesa kesenangan. Manusia beranggapan anugerah yang Allah s.w.t. berikan itu sama ada bersifat nikmat atau azab tidak diketahui oleh Allah. Kebanyakan manusia lalai, dan Al-Quran didatangkan adalah bertujuan untuk mengingatkan manusia berulang-ulang. Berulang dan terus berulang-ulang. Beruntunglah mereka yang dianuggerahkan nikmat disyukuri dan kekal sepanjang hayat.

Satu antara banyak peristiwa berkaitan kaum Yahudi adalah tentang peristiwa lembu betina. Ketika diajukan soalan mohon pembuktian tentang suatu pembunuhan, maka Nabi Musa a.s. mengarahkan mencari seekor lembu betina yang akan disembelih untuk dijadikan pembuktian kepada kes pembunuhan yang sukar dirungkai itu.

Masalahnya ialah tidak diketahui siapa pembunuhnya, mengapa ia dibunuh, dibunuh ditempat lain dan dicampak ditempat lain, apa motif pembunuhan, yang membuat aduan pula adalah sepupu kepada individu yang mati di bunuh itu. Bagi menjelaskan siapa sebenarnya pembunuh itu, maka di bawalah perkara tersebut kepada pengetahuaan Nabi Musa a.s., lalu diarahkan supaya dicari seekor lembu betina untuk tujuan pembuktian.


Berkaitan penyembelihan seekor lembu betina untuk tujuan pembuktian tentang pembunuhan seorang tua hartawan oleh sepupunya yang gila harta untuk tujuan membolotnya seorang diri, tetapi sepupu yang membunuh itu memohon supaya dicari pembunuh sepupunya, orang tua hartawan itu sebagai dalih mengalihkan perhatian bagi menunjukkan bahawa beliau bukan pembunuhnya. Tidak bersalah dan tidak terlibat dalam komplot pembunuhan tersebut kerana tiada sesiapa yang melihat ketika beliau melakukan perbuatan tersebut.

Peristiwa tersebut berlaku pada zaman Nabi Musa a.s.,  salah seorang nabi daripada lima Rasul Ulul Azmi.

Kisah kaum Yahudi tersebut antaranya dinyatakan dalam surah al-Baqara ayat 67-74:



A067
A068
A069
A070
A071
A072
A073
A074


“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".

Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".

Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".

Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".

Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.


Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.”

Terdapat beberapa pengajaran yang boleh dimanfaatkan daripada kisah tersebut, antaranya:-

1. Golongan yang  melakukan  dajal  tidak  akan mengaku keterlanjuran perbuatannya terutamanya yang dilakukan secara sistematik, terancang dan berselindung atas nama pengaruh dan kuasa.

2. Jika pun ia  dibuktikan  bersalah  akan  adalah  pakatan  yang akan membantu beliau sama ada dari segi teknikalnya atau sesuatu yang tersirat berlaku di belakang tabir.

3. Untuk menegakkan  suatu  undang-undang memerlukan golongan yang menghayati falsafah keikhlasan, bebas daripada fahaman kejahilan dan berpaksikan kebenaran.

4. Pihak yang terbabit,  keluarga  dan  kepentingan  berkaitan peribadi hendaklah dibicarakan oleh pihak yang berkecuali.

5. Untuk menegak kebenaran terpaksa menggenggam bara api. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Hikmat itu barang kepunyaan mukmin yang hilang, di mana didapatinya, maka dia yang berhak atasnya.” ( H. R. Imam At-Tirmizi )