Muktamar Pas medan
singkir ahli sekular
MOHAMMAD YASIR JAAFAR | 20
Mei 2015 1:22 AM
KUALA LUMPUR 19 Mei - Presiden
Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Muktamar Pas Ke-61 pada Jun ini
bakal menjadi medan perhitungan bagi membersihkan parti berkenaan daripada
kumpulan sekular yang tidak mahu menerima dasar parti itu dalam memperjuangkan
Islam.
Ahli Parlimen Marang itu
memberitahu, pertelingkahan dan perbalahan pendapat dalam kalangan ahli Pas
sudah lama berlaku seawal tahun 1960.
“Sejak saya aktif dalam Pas pada
1964, saya sudah melihat perbezaan pendapat ini berlaku apabila orang yang
berhimpun dalam Pas terdiri daripada golongan pemikirannya yang maju, ada yang
sederhana dan ada pula kumpulan yang menzalimi diri sendiri iaitu kumpulan yang
suka mengambil kesempatan.
“Oleh itu apa juga berkaitan
dasar, kita tidak berganjak manakala perbezaan pendapat kita akan bermesyuarat,
maka keputusan mesyuarat akan kita terima, kepada ahli yang berpecah (tidak menerima
keputusan) mereka perlu keluar daripada parti ini.
“Kita tidak bersetuju untuk
menjadikan Pas parti sekular, ada dalam kalangan kita hendak buang perkataan
Islam, tidak boleh bercakap pasal Islam, itu kita tidak boleh terima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas mengenai jalan penyelesaian Pas untuk menamatkan krisis
dalaman parti berkenaan dalam sesi bicara di MyHarakah Bazar, di sini hari ini.
Pemilihan Jawatankuasa Pusat pada
Muktamar Pas Ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor bakal menyaksikan
pertembungan antara dua kumpulan iaitu Anwarinas dan golongan ulama dalam
perebutan jawatan tertinggi parti itu.
Sebelum ini, ahli di peringkat
akar umbi juga telah memberi isyarat awal untuk membebaskan Pas daripada
cengkaman puak Anwarinas apabila jumlah pencalonan dalam kalangan pemimpin
ulama jauh lebih tinggi berbanding calon-calon yang berada dalam kem Anwarinas.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi
berkata, apa yang lebih penting ialah perjuangan Pas perlu konsisten
berteraskan disiplin, adab, akhlak dan roh melalui perhitungan dosa dan pahala.
“Cuma kita tidak menafikan ada
orang di luar sana
yang tidak beradab, dalam keluarga juga ada yang tidak beradab apatah lagi
dalam parti,” katanya.
Tegasnya, antara cabaran utama
politik hari ini adalah kewujudan fahaman sekular yang tidak menempatkan Islam
dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Ketika ditanya mengenai cadangan
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
untuk mewujudkan semula Kabinet bayangan pembangkang, Abdul Hadi berkata,
kemenangan pada pilihan raya umum adalah lebih penting.
“Kalau tidak masuk nama saya pun
tidak mengapa tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menang, bagaimana kita
mahu merealisasikan kemenangan, siapa menjadi menteri pun tidak mengapa,”
katanya.
No comments:
Post a Comment